Tuesday, December 8, 2009

Khusyuk Kemenengan Yang Ingin Dicari

Bila bercerita atau berbincang tentang masalah remaja terutama remaja Islam hari ini, pasti ada pihak yang saling tuding menuding dan salah menyalah. Sedih bila melihat keadaan remaja Islam hari ini. Suasana di akhir zaman ini banyak yang menyumbang kepada kerosakan dan kelemahan jati diri remaja Islam yang sebenar. Kunci kerosakan yang paling besar melanda remaja Islam hari ini ialah hiburan yang terlampau. Hiburan yang menjauhkan seseorang remaja itu jauh dari Allah. Tidak perlu disebut hiburan bagaimana yang dimaksudkan terlampau dari sudut Islam. Semua dari kita sudah sedia maklum.


Apa yang kita patut lakukan sebenarnya bagi menyelesaikan masalah yang semakin kronik hari ini? Tidak lain dan tidak bukan kita harus balik kepada cara rawatan yang paling mujarab yang telah tuhan kita berikan iaitu solat. Ya solatlah jalan penyelesaiannya pada segala masalah yang rumit ini. Semua dari kita harus berusaha memperbaiki mutu solat kita. Tahap khusyuk dan khuduk kita harus sentiasa diperbaiki. Belajarlah cara untuk khusyuk dari ulama’ yang amilin seperti imam ghazali bagaimana untuk khusyuk dalam solat melalui penulisannya ihya’ ulummiddin.

Kenapa kita perlu khusyuk dalam solat? Khusyuk atau lain katanya kehadiran hati yang tulus dan terus kepada Allah swt ini amat penting dalam membentuk jiwa yang merdeka. Ya merdeka dari cengkaman nafsu yang menggila. Nafsu yang merosakkan jiwa dan akhlak remaja. Nafsu yang ada pada manusia sekiranya tidak dididik untuk tunduk pada Allah swt melalui sifat khusyuk dan khuduk dalam solat pasti akan menjadikan pemiliknya hilang arah dan paling parah tidak dapat faham ilmu-ilmu Allah swt dalam Al-quran. Sebab itulah pemuda pemudi Islam hari ini tidak dapat mencedok mutiara hikmah dari Al-quran dan cuba di amalkan dalam hidup.

Semua pihak samaada pemimpin kerajaan, ibu bapa, guru mahupun masyarakat wajib perbaiki mutu solat masing-masing. Selagi kualiti solat kita tidak seperti kualiti solat Nabi saw dan para sahabat ra.,janganlah sibuk kita hendak salah menyalahkan orang lain. Bukankah Allah swt sudah sebut kejayaan adalah bersama orang yang khusyuk dalam solat. Pemimpin yang khusyuk akan cuba melaksanakan amar makruf nahi anilmunkar dalam pemerintahannya. Ibu bapa yang khusyuk akan menerapkan aspek nilai akhlak islam dalam mendidik anak mereka. Masyarakat yang khusyuk akan saling berpesan dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran di kalangan rukun tetangga. Inilah yang dikatakan kejayaan. Kejayaan mendaulatkan kehidupan islam dalam hidup masing-masing. Maka insyaAllah masalah kronik remaja islam hari ini pasti akan dapat kita atasi. Ini kerana fitrah agama Allah itu sendiri, bilamana seseorang khusyuk dalam solat , dia akan mudah melaksanakan tuntutan agama yang lain seperti dakwah.

Kesimpulannya , saya menyeru kepada diri saya dan semua pembaca untuk kita sedar bahawa khusyuk dalam solat sangat penting.Jangan campurkan perhatian kita dalam solat dengan urusan dunia. Usaha hadirkan hati kepada Allah swt dengan sedaya mampu. InsyaAllah pasti Allah swt akan datangkan petunjukNya buat kita yang lemah ini dalam menyeleasaikan masalah harian kita. Wallahualam