Sunday, December 16, 2012

Noda Rasa Dekatnya Pada Tuhan..

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Siapa pernah mengalami perasaan suatu masa dahulu. Suatu masa dahulu yang begitu indah. Saat-saat ketika bertemu dengan tangan-tangan Tuhan. Menemukan cahaya, dan baru tersedar selama ini dia bukan dalam kesamaran sebenarnya. Tapi dia berada dalam kegelapan dunia sendiri. Maka kerana itu apabila bertemu cahaya yang memperlihatkan tangan-tangan Tuhan, dia menjadi begitu teruja dan bahagia.
Bangun solat diwaktu malam itu adalah saat yang dinanti-nanti. Terasa bahagia bercakap-cakap dengan Allah Ta’ala. Kita bebas menjadi diri kita tanpa bersembunyi dihadapan-Nya; menangis, tersenyum. Mengadu sedih juga mengadu gembira. Pada waktu itu, setiap tingkah selalu teringat Allah. Setiap masa, di mana-mana.
Siapa pernah mengalami? Saya pernah. Dan jujur, saya yakin kalian juga pernah.
Waktu berlalu. Tahun berganti tahun. Angka-angka pada kalendar menunjukkan perubahan demi perubahan. Eh, bukan angka-angka itu sahaja sebenarnya yang berubah. Diri kita pun sama. Dan saat itu, baru tersedar. Kita sepertinya kehilangan.
Tapi apa? Apa yang kita lupa dan tidak ingat?
Selalu baca buku-buku agama, ya. Solat lima waktu, ya. Berkawan dengan orang-orang yang soleh dan solehah, ya. Memberi nasihat dan teguran juga menerima nasihat dan teguran, ya. Jadi apa yang kurang ya?


Kehilangan Rasa Manisnya Keakraban
Pernah saya menghadiri suatu program untuk menjadi jurugambar. Tugas saya mengambil gambar pada setiap masa disamping sempat saya bermesra dengan adik-adik program. Ditakdirkan, ada suatu slot lebih kepada penghayatan terhadap diri sendiri. Macam biasa, pasti ada kedengaran tangisan dari para peserta program. Saya yang memegang kamera DSLR pada masa itu sempat merakamkan airmata mereka menerusi lensa. Malah titisan airmata yang jatuh juga sempat saya rakamkan.
Tapi pada saat itulah, saya terasa tertusuk sendiri. Saya mendengar setiap bait kalimah yang diucapkan oleh penyampai dalam slot berkenaan. Saya dengar dengan jelas. Setiap inci. Tapi, kenapa hati saya macam tidak merasa apa-apa?
Maka saya duduk di satu penjuru di bahagian peserta muslimat. Memerhati para adik program dari belakang. Sungguh, sayu dan sebak suasana pada masa itu. Tapi hati saya, kenapa semacam tidak tersentuh? Beberapa minit saya tertunduk.
Rasa takut mulai menyelinap dalam hati.
Takut sebab.. Tidak merasa kehadiran Allah Ta’ala!

Juga pernah saya merasai keterujaan untuk bangun solat pada waktu di malam hari itu sudah tidak lazat seperti sebelum-sebelum ini. Saya terjaga, saya bingkas bangun. Menuju bilik air menyucikan diri. Sampai saatnya saya berdiri di atas sejadah, saya tidak merasa ‘sesuatu’. Saya benar-benar terduduk saat itu dengan rasa sendiri.
Dan saya, menangis disaksikan oleh-Nya atas sebab tidak merasa ‘sesuatu’ itu.
Tidak perlu mencari jauh sebab-sebab saya merasa semua itu. Saya perlu tengok diri sendiri. Macam manakah diri saya ini sebenarnya? Kenapa saya jadi semacam ini? Kenapa jiwa semakin manja dengan dunia?
Adakah saya sudah selesa kerana berada di atas jalan hidayah? Tidak!
Wahai Tuhan, ampunilah diri ini jika pernah merasa sedemikian. Sungguh sangat tidak layak untuk merasa sedemikian. Wallahi. Tuhanku, Engkau lebih mengetahui bagaimanakah diriku. Baik keburukanku dan juga kelemahanku.

Mencari Punca Memecah Rasa
Saya mengadukan rasa saya ini kepada seorang sahabat yang saya percaya. Dan dia sentiasa sabar dengan perkongsian dari saya. Baik sesuatu ilmu mahupun masalah. Dia sabar mendengar patah demi patah perkataan saya.
Dia memandang langit, lama. Selepas itu dia berkata, “Sekali kita dapat cinta Allah, kita akan dapat. Dan antara tugas kita ialah untuk baja cinta tu. Kalau kita dah dapat, tapi kita tak jaga dengan baik, nanti suatu hari tak mustahil kita akan kehilangan cinta tu. Kita kena selalu refresh hati..”
Dia berpaling kepada saya yang berada disebelah kanannya.
Saya akui. Benar sungguh kata-katanya. Atas semua rasa yang saya alami. Mungkin kerana saya terlalu selesa dan terlalu manja dengan dunia. Terleka seketika sehingga hampir parah. Sedangkan, saya terlalu jauh untuk menjadi calon ahli syurga.
Allahuakbar.
Mak saya. Juga turut saya berkongsi rasa ini dengannya melalui corong telefon. Nasihatnya yang berbakul-bakul itu menghempap diriku. “Zikir-zikir selalu bacakah walau pi mana-mana?” Oh snap! Soalan itu menamparku.
Dan saya akui, saya sudah kurang berzikir. Baik berjalan, duduk mahupun sedang baring. Sedangkan, zikir itu tidak memerlukan tenaga fizikal yang banyak, bukan? Kerana hakikatnya, tenaga yang diperlukan untuk zikir itu adalah kekuatan rohani yang berhubung dengan kecintaan kepada Allah Ta’ala.
Puncanya dari manusia itu sendiri. Dari saya, diri saya sendiri.


Masih Terus Memperbaiki Iman
Sumpah jalan ini masih terlalu panjang untuk menggapai syurga. Masih terlalu jauh untuk sampai ke destinasi. Maka bagaimanakah diri kita ini sudah boleh merasa terlalu selesa dengan secebis cahaya hidayah yang Allah Ta’ala berikan kepada kita?
Kita tahu dan kenal diri kita sendiri. Dan untuk itu, malulah kita.
Bagaimanakah kita mahu tengok ahli keluarga kita, sahabat-sahabat kita untuk ke syurga bersama-sama kita, seandainya kita sendiri yang tercicir dari mereka? Bagaimana bisa melangkah ke dalam syurga bersama-sama?
Untuk rasa-rasa sebegini, penyucian hati sangat diperlukan sebenarnya.
Mari lihat kembali diri kita. Maka kita akan tahu lubang-lubang dosa yang menyebabkan kita merasa hal-hal yang sedemikian. Cukuplah, kita bicarakan asbab lubang-lubang dosa itu dengan Allah SWT. Akuinya semua di depan Dia.
Dia Maha Sabar Mendengar dan Mengampuni.
Semoga Allah, masih sudi menghidupkan hati-hati yang kekeringan ini.
Semoga Allah, masih sudi memegang hati-hati yang selalu keras dan degil ini.

Semoga Allah merahmati.

No comments:

Post a Comment