Saturday, June 19, 2010

Selamat HARI BAPA :-)

BAPA adalah orang penting dalam keluarga bagi
membentuk sahsiah dan identiti seorang anak. Anak pula
adalah penyejuk mata manusia dan buah hati bapa dalam
hidup ini.

Justeru, anak yang menggembirakan umur dan
menghiburkan hidup bapa. Disebabkan anak-anak, hidup
bapa menjadi ceria dan seronok. Kerana anak-anak juga,
bapa bekerja keras menampung keperluan seharian demi
membesarkan mereka menjadi manusia berjaya.

Oleh itu, wajarlah bapa tidak cuai dalam membentuk
pendidikan dan sentuhan kasih sayang kepada anak-anak.

Ia supaya anak-anak membesar dalam suasana penuh
penghormatan, didikan tertib dan kasih sayang melimpah
ruah.

Rahmat kasih sayang sejati dan akhlak Islam dalam
kehidupan Rasulullah diungkapkan oleh Anas seperti
mana kata-katanya: “Aku tidak pernah melihat seorang
yang lebih merahmati keluarganya daripada Rasulullah.”


Kata Anas lagi: “Adalah Ibrahim (putera Rasulullah
dari Mariatul Qibtiah) disusukan bagi Rasulullah di
utara Madinah, maka Rasulullah pergi ke sana bersama
kami lalu memasuki rumah itu dengan mengambil Ibrahim
lalu diciumnya, selepas itu baru Baginda kembali.”
(Hadis riwayat Muslim).

Abu Hurairah meriwayatkan, katanya, bahawa Rasulullah
mencium Hussin bin Ali, lalu berkata Al-Aqra’ Ibn
Habas: “Sesungguhnya bagiku ada sepuluh anak, tetapi
aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka.”
Lalu Baginda bersabda : “Sesiapa yang tidak merahmati,
dia tidak dirahmati.”

Pendidikan dalam bentuk bermesra dan bergurau senda
ketika melayani anak amat digalakkan dalam Islam
seperti yang ditunjukkan Rasulullah.

Malah, Baginda juga pernah bersabda bermaksud:
“Sesiapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah menjadi
anak kecil terhadapnya.” (Hadis riwayat Ibn Asakir).

Rasulullah juga tidak membeza-bezakan layanan terhadap
anak lelaki atau perempuan. Ummul Mukminin Aisyah
pernah berkata: “Sesungguhnya, apabila Fatimah masuk
menemui Rasulullah, Baginda bangun menyambut
kedatangan puteri Baginda dan mengalu-alukan
kedatangannya, menciumnya dan mempersilakan dia duduk
dalam majlis Baginda.

“Begitu juga, apabila Rasulullah masuk menemuinya
(Fatimah), dia bangun menyambut Rasulullah dan mencium
baginda dan mempersilakan Rasulullah duduk dalam
majlisnya. Dan sesungguhnya, Fatimah sudah masuk untuk
berjumpa Rasulullah pada masa Baginda sedang sakit
menjelang kewafatan Baginda, lalu Baginda
mengalu-alukan dia dan menciumnya.” (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim).

Perkembangan semasa menyaksikan penularan gejala
keruntuhan akhlak dalam masyarakat, rapuhnya ikatan
kekeluargaan dan sesama insan.

Ia turut menular dalam keluarga termasuk keretakan
hubungan suami isteri dan anak dengan ibu bapa.

Kajian yang dijalankan menunjukkan, apabila fungsi
bapa gagal dijalankan, maka ia akan membentuk sikap
sama pada anak lelaki dan perempuan. Selepas berumah
tangga, anak-anak itu akan melakukan perkara sama
kepada anak mereka.

Dalam buku What A Difference A Daddy Makes oleh Dr
Kevin Leman menggariskan sebab kehadiran seorang bapa
penting dalam kehidupan anak. Antaranya:


Membentuk keyakinan diri seorang anak.


Mencorakkan maruah diri seorang anak.


Meningkatkan kecerdasan emosi dan kepintaran akalnya.


Membentuk tanggapan anak perempuan terhadap lelaki
yang mendampinginya.

Anak-anak sangat memerlukan sentuhan, perhatian,
belaian, kasih mesra, gurau senda dan ketegasan
daripada seorang bapa.

Bagi anak, bapa yang selalu tidak berada di rumah akan
menjadikannya seolah-olah seperti seorang anak yatim.

Justeru, kepulangan bapa tidak pernah disambut.
Baginya, kehadiran bapa di rumah seperti ketiadaannya.
Ini berlaku disebabkan tidak ada sentuhan sama ada
dalam bentuk fizikal, perbuatan atau perkataan.

Lama kelamaan, anak hanya menjadikan bapa sebagai
tempat meminta wang, bukannya sebagai tempat mengadu,
bermain atau meluahkan masalah.

Anak berasakan mereka tidak ‘diterima’ oleh bapa
sendiri. Ia menyebabkan anak-anak akan mengalihkan
perhatian kepada kawan yang menerima mereka seadanya.

Bapa yang terlalu garang, kerap mengkritik anak, tidak
pernah mendengar luahan perasaan dan pendapat anak
serta sering membuat keputusan yang bertentangan
dengan kehendak anak (kerana merasakan keputusan
mereka lebih baik) juga menyebabkan anak merasa
tersisih dalam rumah sendiri.

Perceraian dan poligami juga kadang-kadang menyebabkan
bapa mula mengabaikan tanggungjawab memberi perhatian
kepada anak yang sedang membesar.

Keadaan lebih buruk selepas anak meningkat remaja.
Mereka akan lebih percayakan kawan dan lebih senang
menghabiskan masa dengan kawan daripada keluarga
sendiri.

Anak jenis ini akan mudah menerima huluran
persahabatan daripada orang luar yang tidak dikenali.
Mereka juga akan lebih mudah bersama remaja lain yang
juga mempunyai bapa jenis itu.

Penerimaan orang lain terhadap seseorang adalah
sesuatu yang diinginkan oleh setiap insan. Begitu
juga, anak mahukan bapa menerima kehadirannya dengan
sepenuh hati.

Anak juga mahukan bapa menghargai dan menyokong
kebaikan anaknya, merangsang dan menggalakkan minatnya
serta menegur dengan baik kesilapan dilakukannya.

Jika tugas ini gagal dijalankan oleh bapa, anak akan
mengemis ‘penerimaan’ orang luar yang mungkin
mengambil kesempatan daripada anak yang dahagakan
kasih sayang.

Perhatian yang diberikan bapa kepada anak perempuan
didapati mempengaruhi hubungan anak itu dengan lelaki
lain.

Anak perempuan yang mendapat perhatian mencukupi
daripada bapa akan meletakkan piawaian tinggi terhadap
lelaki yang mendampinginya.

Dia tidak mudah terpengaruh dengan sifat luaran,
tetapi mutu yang ada pada lelaki itu.

Kajian mendapati, anak perempuan yang tidak mendapat
perhatian bapa kerap bertemu dan berkahwin dengan
lelaki yang juga kurang mengambil berat terhadap
perasaan isteri, rumah tangga dan anak-anak.

Allah memuliakan kedudukan bapa dan memerintahkan
anak-anak taat kepada bapa seperti mana firman-Nya
yang bermaksud: “Dan kami wajibkan manusia (berbuat)
kebaikan kepada kedua orang ibu bapanya” (Surah
al-Ankabuut, ayat 8).

Justeru, wajarlah bapa menunaikan tanggungjawab dan
amanah yang dipikul dengan menunaikan hak kepada
anak-anak dengan sebaik mungkin.

Hubungan bapa dan anak ibarat tali bersimpul mati.
Hubungan bapa dengan anak tidak mungkin boleh
dirungkai walaupun bapa sudah bercerai.

Hubungan ini tetap akan dituntut di akhirat kelak
iaitu sejauh mana tanggungjawab yang ditunaikan dan
hak yang diberikan.

Hubungan suci ini juga tidak akan berakhir walaupun
anak itu sudah berkahwin dan berkeluarga. Malah, dalam
satu hadis, Rasulullah menjelaskan keutamaan bapa yang
berbuat baik terhadap anak yang sudah janda disebabkan
kematian suami atau bercerai.

Rasulullah bersabda kepada Suraqah Ibn Ju’syum
maksudnya: “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu
sebesar-besar sedekah atau daripada sebesar sedekah?
Suraqah berkata: “Hebahkan wahai Rasulullah.” Lalu
Baginda bersabda: “Puterimu yang sudah menjadi janda
(kerana perceraian atau kematian suami) pulang kembali
kepadamu, yang tidak mempunyai tempat bergantung
selain daripadamu.” (Hadis riwayat Ahmad, An-Nasai dan
Ibn Majah).

Sesungguhnya, anak-anak kita mungkin mempunyai ramai
teman dan rakan serta boleh bertukar-tukar pasangan
hidup, tetapi mereka hanya mempunyai seorang bapa saja
di dunia ini.

No comments:

Post a Comment