Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillah segala puji bagi Allah yg telah menciptakan kita semua sebagai ummat terbaik dibumi wakafan ini.. selawat serta salam moga tetap dicurahkan ke atas murobbi teragung & qudwah hasanah, Rasulullah S.A.W.. salam kemuliaan juga buat ahlul bait, para sahabat-sahabiah, tabi'in, tabi'-tabi'in, mujahid-mujahidah, serta muslimmin-muslimat yg masih tsabat/ istiqomah/ istimrar memperjuangkan kalimah haq lailahaillallah sehingga hari akhir.. insyaALLAH
Kali ini, sebagai satu seruan buat saya sendiri dan juga buat sekalian pemuda atau mereka yang masih mahu menggelarkan diri mereka sebagai PEMUDA, yang bertebaran di atas muka bumi ini. Sebut sahaja pemuda, apa yang tergambar adalah satu figure yg memiliki susuk tubuh yang kental dan semangat yang berkobar. Ya, secara asasnya itu adalah pemuda. Ciri-ciri fizikalnya begitu. Maka dengan elemen yang ada itu, pemuda cukup pantang menyerah sebelum ajal. Kembali kepada sejarah, pemuda adalah teras kepada satu kebangkitan dan pintu kepada kegemilangan. Sama ada pemimpin sekular, komunis, duniawi, mahupun pemimpin dengan teras agama, semua meyakini akan kekuatan dan kepentingan pemuda ini. Itulah sebabnya, semenjak dahulu lagi, pemuda menjadi tiang pasak kepada sebuah masyarakat, tamadun, dan peradaban. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan, malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman:
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Al-Kahfi:13)
Pemuda pada masa kini, lahir ditengah-tengah masyarakat yang rosak. Ibarat barah yang semakin hari semakin kronik. Lihat sahaja di sekeliling kita. Jika pada umur 13 tahun, sudah boleh bunting hasil perkongsian haram, tidak rosak jadinya? Jika lelaki dan perempuan, muda-mudinya bebas melakukan apa sahaja, tanpa segan silu, tidak haru biru lagaknya? Jika rasuah menjadi-jadi dan janji-janji pemimpin hanya tinggal janji, tidakkah menyusahkan rakyat namanya? Apatah lagi apabila Al-Quran dan sunnah jauh dari diri, kita lupa matlamat sebenar kita wujud ke dunia ini.
Maka, haruskah kepekatan malam yang panjang ini dibiarkan terus begitu? Bila dan bagaimana mahu disinarkan kembali cahaya Syahadah? Siapa mahu melaksanakannya. Masyarakat ini perlu diubati tentunya. Itu satu kemestian. Jika orang yang demam diberi penawar, masakan masyarakat yang sakit dan rosak ini hendak dibiarkan begitu sahaja. Pemuda adalah jawapannya. Sirah telah menunjukkan segalanya. Teras kepada kejayaan dakwah nabi kerana kesungguhan pemudanya seperti Ali, Suhaib Ar-rumy, Salman Al-Farisi, Mus’ab bin Umair dan ramai lagi tokoh pejuang agama era sahabat terdiri daripada pemuda. Meski Abu Jahal itu pemimpin utama, namun bukan dia yang menjadi teras agama ini. Mahu Allah tunjuk kepada kita, memang pemuda menjadi teras dan pengubat buat agama ini.
Allah berfirman:
Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. (Al-Imran : 110)
Ayat daripada surah ini harus dihayati pemuda hari ini. Buka sejenak minda dan lapangkan hati kita. Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya kita adalah sebaik-baik umat. Kita makhluk terbaik di alam ini. Kita termulia. Kebaikan dan kamuliaan ini bukan dikurniakan kerana kayanya kita atau kerana besarnya pangkat atau hebat pekerjaan yang dimiliki. Mulia kita, kerana kita menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, serta hidup dalam keadaan beriman kepada Allah. Ini matlamat hidup dan tujuan kejadian manusia yang mahu Allah ingatkan buat kita dan mahu kita beramal dengannya. Hidup ini tidak lama. Akhirat itu pasti akan kita laluinya. Itu hari perhitungan dan pembentangan amal yang kita laksanakan di dunia ini. Maka apabila kita tahu akhirat itu pasti, mengapa tidak mahu kita bersedia kearahnya? Apa yang mahu kita persembahkan nanti? Anak-anak, kereta besar, pangkat, jawatan, duit, senjata, rumah, harta, dan pelbagai lagi nikmat alam ini sudah tidak bermakna lagi. Hanya amal kita berdasarkan apa yang Allah mahu akan dinilai dan diterima. Apa yang Allah mahu? Ayat di atas tadi menceritakan segalanya.
Ambil masa yang ada dan renungi kembali akan hari-hari yang telah berlalu itu. Berapa banyak telah dihabiskan untuk beramal dan berapa banyak yang tersia-sia. Bangkitkan roh dan semangat kita berteraskan kesyumulan Islam ini wahai pemuda. Moga kita bisa menjadi satu ejen perubah buat umat yang kian tenat ini.
p/s : Usah terus terleka.
Salam mujahadah.
No comments:
Post a Comment